top of page

INTERVIU UJIAN HAFALAN 12 JUZ

Updated: Oct 9

ree

Satu sesi temuduga telah dijalankan antara Cikgu dan dua orang pelajar perempuan yang telah menduduki ujian hafalan 12 juz. Apabila cikgu dengar ada pelajar kita yang sanggup duduk membaca secara hafalan 12 juz terus-menerus, sangat kagum rasanya. Bermacam soalan yang mula bermain di fikiran cikgu. “Eh, bolehkah terus-menerus begitu?”, “Tak hauskah atau hilang suara?”, “Macam mana mereka buat persiapan untuk bacaan 12 juz di samping tugasan sekolah yang lain?”


Dari itu, cikgu ambil keputusan untuk temuduga dua pelajar kita, iaitu, Khalilah Tullah Nabiah (Men 4, 2014) dan Nur Hanis bte Md Yusoff (Men 3, 2014). Ikutilah temuduga bersama mereka.


Cikgu: Bagaimanakah kamu membuat persiapan untuk mengambil sijil hafalan 12 juz?

Khalilah: Dari awal Januari lagi saya dah mula ulang bacaan 6 juz setiap hari, 3 juz sebelum tidur dan 3 juz lagi awal pagi sebelum subuh.


Hanis: 3 bulan sebelum ujian saya dah mula ulang bacaan 3 juz setiap hari. 3 juz itu saya ulangi beberapa hari sehingga mantap, barulah saya teruskan 3 juz selanjutnya. Ada kalanya, saya buat temu janji dengan Ustazah di MDA pada hujung minggu dan ulang bacaan bersamanya.


Cikgu: MasyaAllah!!!! Bagaimana pula kamu mengekalkan hafalan supaya tidak lupa?


Khalilah: Saya peruntukkan 2 hari setiap minggu untuk ulang hafalan supaya tidak lupa.


Hanis: Bagi saya pula, setiap kali saya selesai mantapkan 6 juz saya mengulang-ulang pangkal dan akhir secara berpasang. Contohnya saya ulang juz 1 dan juz 6 kemudian juz 2 dan 5 dan seterusnya.


Cikgu: Hmm… bagaimana kamu mengatur jadual harian kamu?


Khalilah: Saya tidak ada jadual harian tetapi saya ada ‘mental checklist’ mingguan. Setiap awal minggu saya bayangkan checklist dan akhir minggu saya pantau semula. Selalunya tugasan rumah saya selesaikan pada hari Khamis dan Jumaat. Saya peruntukkan hujung minggu untuk Quran.


Hanis: Jadual harian saya biasanya sama. Saya habiskan tugasan sekolah setiap malam sebelum ulang hafalan sehingga tertidur.


Cikgu: Apakah yang menjadi motivasi kamu untuk terus menghafal?


Khalilah: Ibu bapa saya. Saya tak mahu kecewakan mereka. Satu lagi ialah pegangan saya bahawa seorang yang beriman itu tidak akan mudah mengaku kalah. InsyaAllah saya akan teruskan.


Hanis: Kakak-kakak saya yang dah khatam menghafal. Saya juga sangat bersemangat apabila menghafal bersama-sama kawan-kawan di sekolah. Alhamdulillah.


Cikgu: Bagaimanakah perasaan kamu apabila sedang menjalani ujian tersebut?


Khalilah

& Hanis: Pada mulanya gementar, kemudian mula tenang.


Cikgu: Boleh kamu kongsi tips kepada pelajar lain yang ingin mengambil sijil hafalan 6 juz atau 12 juz?


Khalilah: 1. Adakan masa tetap untuk ulang bacaan setiap hari. 2. Lawan nafsu kalau nak tengok TV atau lungsur lelaman web. 3. Kuatkan stamina. Mulakan dengan sedikit dan tambah perlahan-lahan. 4. Kalau mengantuk tidur dulu asalkan jangan terlajak.


Hanis: 1. Kurangkan masa menggunakan alat teknologi. 2. Banyak makan kismis. 3. Waktu rehat di sekolah, solat dhuha dan doa mohon dimudahkan oleh Allah. 4. Jangan ikut malas. Kalau penat ulang baca sambil baring hingga tertidur pun tak mengapa.


Masyallah! Cikgu harap kedua pelajar ini dapat menjadi motivasi bagi kawan-kawan yang lain. Memanglah benar kata Allah, “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Surah Al-Qamar, 17). Selamat menghafal!

 
 
bottom of page